Assalamualaikum, Antara perkhabaran Rasulullah SAW dan ramalan Nostradamus Namrud telah memerintahkan supaya dibunuh anak-anak lelaki yang baru lahir. Namrud begitu yakin dengan nasihat para kahin (nujum) yang mentafsirkan mimpinya, bahawa kerajaannya akan jatuh oleh seorang bayi lelaki yang bakal lahir. Oleh kerana tidak tahu siapa di antara bayi -bayi yang lahir itu yang akan menjatuhkan kerajaannya, maka Namrud memerintahkan membunuh semua sekali, asal saja bayi itu lelaki. Kerana itu Nabi Ibrahim a.s diselamatkan oleh ibunya, baginda dilahirkan dan dibesarkan di dalam sebuah gua. Begitu juga yang berlaku kepada Nabi Musa a.s, ahli-ahli nujum Firaun pula meramalkan kejatuhan kerajaan Firaun adalah di tangan bayi lelaki yang bakal lahir. Kalau Nabi Ibrahim disorok di dalam gua, Nabi Musa disorok di dalam istana Firaun. Malah sebelum itu pernah dimasukkan ke dalam sabak (tempat bakaran roti) serta dihanyutkan ke sungai, terapung-apung hingga tiba di istana Firaun. Dari sanalah diambil oleh Firaun sebagai anak angkat, sementara ibunya dipanggil untuk menyusui anak angkat Firaun. Begitulah kisah dua orang Rasul yang bertaraf Ulul Azmi, lebih lagi bagi Rasul yang menjadi penghulu segala Nabi dan Rasul, Rasulullah SAW. Sebelum baginda dilahirkan, kisah kelahiran baginda telah diceritakan lebih awal di dalam Kitab Taurat dan Injil. Di sana dikenali dengan nama Ahmad, bukan Muhammad sebagaimana setelah dilahirkan. Kelahiran agung itu telah dihafal dan dijiwai oleh pendita Nasrani dan rahib Yahudi, hingga mereka mengenali sifat peribadi Rasulullah SAW itu lebih daripada anak mereka sendiri. Malah ada yang ternanti-nanti kelahiran tersebut di samping mengharap Nabi tersebut adalah dari kalangan mereka. Apabila berlaku kelahiran Rasulullah SAW, mereka segera mengenalinya melalui tanda-tanda yang telah tersebut di dalam Kitab Taurat danInjil. Apabila tiba seruan Islam dari Rasulullah SAW, merekalah yang menjadi penentang kerana iri hati dan hasad dengki, bukan kerana tidak tahu kebenaran. Hingga kini, Yahudi dan Nasrani tidak sudah-sudah memusuhi Islam. Mereka terus menerus mengkaji rahsia-rahsia kekuatan umat Islam dengan tujuan melumpuhkan ajaran Islam. Mereka berusaha agar umat Islam terlupa rahsia keagungan Islam yang telah dibina oleh Rasulullah SAW. Mereka lupakan umat Islam dari iman dan taqwa. Mereka menanamkan sikap cinta dunia yang membawa umat Islam menjadi lemah. Firman Allah: "Sekali-kali tidak akan redha orang-orang Yahudi dan Nasrani sehingga engkau mengikut cara hidup mereka." (Al Baqarah: 120) Ketika Sepanyol hendak ditakluki kembali oleh Kristian dari tangan umat Islam, berbagai strategi diatur dengan begitu rapi. Pemimpin mereka berpesan, "Jika kamu lihat mata umat Islam cerah (tidak kuyu atau merah kerana kurang tidur-beribadah malam), waktu itu seranglah mereka. Selagi kamu lihat mereka sembahyang malam, kamu tidak akan dapat menumpaskan mereka." Kini alaf baru telah tiba. Bagi umat Islam di akhir zaman khususnya di alaf ke 21 Masihi ini, sebenarnya ada janji Allah untuk kebangkitan dan kegemilangan semula Islam kali kedua. Perkara ini bagi sesetengah umat Islam dipandang remeh, kurang yakin bahkan ada yang menolak dan menentang. Termasuk di kalangan alim ulama yang terpengaruh dengan orentalis Barat. Keyakinan umat Islam terhadap hadis akhir zaman digugat dengan mewartakannya sebagai hadis dhaif atau palsu. Akhirnya umat Islam terus dibelenggu oleh kepompong ciptaan Yahudi dan Nasrani. Sedangkan di pihak mereka, Yahudi dan Nasrani, telah bersedia lebih awal dan bersiap siaga dengan kebangkitan yang dijanjikan itu. Ini kita dapat lihat, seorang peramal berbangsa Yahudi yang terkenal telah meramalkan kebangkitan Islam di tahun 2000 bermula dari sebelah Timur. Bagi saya, ini bukan semata-mata ramalan, tetapi adalah tafsiran atau hasil analisis hadis oleh pakar-pakar Yahudi. Mereka amat peka terhadap hadis-hadis yang menyebut secara khusus kebangkitan Islam. Kebangkitan Islam bererti kejatuhan dan kekalahan mereka. Segala kepalsuan dan kebatilan mereka akan terbongkar, dan segala kezaliman akan bertukar keadilan. Memang secara jelas disebut di dalam hadis tidak boleh mempercayai ramalan nujum. Tetapi apabila telah ada hadis mendahului ramalan itu, ia bukan nujum. Kadangkala dikatakan itu sebagai ramalan hanya untuk mengelirukan umat Islam. Mereka kata itu ramalan mereka sedangkan itu adalah maksud hadis yang mereka sembunyikan dari umat Islam selama ini. Sudahlah umat Islam ini diragukan dengan hadis, mereka tipu pula umat Islam dengan menamakan hadis sebagai ramalan (nujum) mereka. Di antara yang disebut oleh Michael Nostradamus (1503-1566) seorang rakyat Perancis berketurunan Yahudi, tokoh peramal dari Barat yang terkenal, yang dikatakan banyak ramalannya yang tepat. Menurut ramalan beliau yang ditulis semula oleh V. J. Hewitt dan Peter Lorie dalam buku The End of the Millennium, Prophecies : 1992 to 2001, beliau meramalkan pada tahun 2000, disebutkan secara lebih khusus mengenai munculnya seorang pemimpin Islam yang bakal merubah dunia. Menurut beliau: 1. Akan muncul A New World Religion. 2. Dipimpin oleh seorang yang dikenali dengan panggilan The Man from The East. 3. Dia muncul dari negeri yang terletak di pertemuan tiga buah laut. 4. Kemunculannya menggemparkan Timur dan Barat. 5. Ketika muncul, dia memakai serban biru (The Blue Turban). 6. Dia merayakan hari Khamis sebagai hari istimewa bagi dirinya. Di sini saya ingin menghuraikan berkenaan perkara-perkara yang disebut oleh Nostradamus berdasarkan hadis, sekaligus membuktikan terdapat "mala-fide" Yahudi dalam konspirasi mengelirukan umat Islam.
Sabtu, 4 Disember 2010
perkhabaran rasulullah saw
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan